Dari Bilik Bersalin I

Kebiasaannya saya akan menulis entri baru pada waktu malam. Pulang dari pejabat, makan malam, usrah atau program kawasan dan sebelum tidur akan tulis satu dua perenggan sebagai pembuka idea.

Namun, selepas kehadiran cahaya mata comel, jadual hidup berubah serta-merta. Entri yang lepas pun belum bersambung lagi, Saya dicop Muslim (i).

———

Isteri saya mengadu sakit awal pagi Isnin jam 2 pagi. Dikejutnya saya tapi saya boleh pula mengigau sebelum benar-benar tersedar. Nasib baik ada mama (mak mertua) yang mencadangkan kami solat Subuh dahulu sebelum ke hospital. Lagipun, bukannya terus nak bersalin katanya.

Jam 5.30 pagi kami tiba di hospital dan nurse maklumkan sudah ada bukaan 4cm. Isteri terbaring di atas katil menahan kesakitan contraction (pengembangan pengecutan rahim untuk membuka laluan bersalin). Saya di sebelah mengurut-urut belakang badan bagi melegakan kesakitan.

Jam 6.30 pagi bukaan sudah 6cm. Progress yang agak baik bagi anak sulung. Saya dapat mengagak kesakitan yang ditanggungnya dari cengkaman tangannya yang kuat dan berbekas merah di pergelangan tangan saya apabila berlaku contraction. Sakitnya? Hanya yang pernah mengalami tahu sakit peritnya hendak bersalin. Tak semena-mena tangan saya menggigil, mata sedikit berair. Bukan kerana takutkan darah yang sudah mula membasahi atas katil, tapi kerana terlalu kasihan melihat kesakitan yang ditanggung. Wajah Ummi mula terbayang, dalam diri mula berbisik, alangkah ruginya aku pernah bantah dan melawan cakap Ummi, alangkah ruginya anak yang menderhakai ibubapanya (terutama si Ibu) sedangkan ibu bertarung melahirkan dia ke dunia. Saya hanya berzikir perlahan di telinga isteri, mengingatkan dia tentang zikir Nabi Yunus La ilaha illa anta, Subhanaka, inni kuntu minaz zhalimin, mengajar cara bernafas  (para suami, sila ambil tahu cara mengawal nafas ketika contraction) dan dalam masa yang sama mendoakan semoga Allah ampunkan semua dosa isteri saya. Itulah rasa tawakal yang tak pernah saya rasai sebelum ini.

 ‘Wahnan ala wahnin‘ iaitu ‘kesukaran yang begitu melemahkan’ ( Luqman:14)

40 minit selepas itu doktor maklumkan sudah bukaan penuh. Bersedia untuk disorong masuk ke dalam bilik bersalin. Isteri sempat mencapai tangan saya “Abang, ampunkan dosa sayang selama ini andai tak mampu jadi isteri solehah untuk abang”

7.30 pagi bilik bersalin sudah disediakan, saya dijemput untuk masuk dan diminta berada di bahagian kepala isteri saya. Alhamdulillah Dr Lee Eun Sil kata bayi sudah bersedia untuk keluar. Dengan 2 kali contraction push, bayi perempuan kami selamat dilahirkan. Muka isteri yang tadinya merah padam menahan sakit kian surut lega perlahan-lahan.

Mendapatkan si bayi yang masih kemerahan, menangis ketika dalam dakapan, azan dibisikkan ke telinga. Si bayi berhenti menangis. Matanya memandang ke arah saya. Tenang. Damai. “InsyaAllah beriman dan cerdik anak abah ni”.

———

Hari ini sudah hari ke-9. Rambut sudah dicukur, mulut sudah ditahnik, urinya sudah diuruskan, dan kami menamakannya dengan nama yang baik, Balqis. InsyaAllah.

…insyaAllah bersambung, Dari Bilik Bersalin II

image

More pic here

41 weeks and prayers

image

Isteri sudah overdue. Hari ini officially 41 minggu, bermaksud sudah lebih 7 hari dari tarikh jangkaan. Kami jangkakan 5 Mei, tarikh orang buang undi, rupanya belum rezeki lagi.

Ramai kawan, staf pejabat, junior senior bertanya hinggakan ada yang ucap tahniah kerana disangka sudah bersalin. Saya hanya menjawab belum dan minta doakan kesejahteraan keduanya, bayi dan juga si ibu.

Sepanjang isteri saya mengandung, macam-macam perkara kami alami. Trimester pertama, saya pernah muntah bagai orang mengandung, sampai lemah-lemah badan dan isteri saya rileks saja seolah-olah dia tak mengandung. Agaknya sebab pernah berdoa minta saya dapat rasai bagaimana perempuan mengandung, yang pasti saya tak nak lagi rasa. Serik! Dari sudut rezeki pula, saya sudah saksikan kebenarannya. Rezeki murah, mudah dan tak terfikir dek akal dari mana datangnya.

Trimester akhir, macam-macam orang rekomen supaya mudahkan bersalin. Air selusuh, minum air kelapa, minyak selusuh yang dibawa mak mertua, dan exercise intensively berbanding sebelumnya.  Minggu lepas, kami berjalan merentasi Yoeido, kemudian berjalan lagi merentasi Mapo Bridge. Akhir sekali, petangnya saya yang mengadu sakit kaki dan lenguh sana-sini! Isteri saya? Dia seperti biasa. Rileks saja.

image

Satay yang isteri saya idamkan dah dapat di Hi Seoul minggu lepas tapi masih juga tidak bersalin. Bayi nampak gembira dan selesa di dalam rahim ibunya. Kami hanya mampu berusaha dan berdoa. Yang lain, serahkan pada Sang Pencipta.

Orang tua-tua kata bersalin umpama kematian. Pasti datang. Pasti sakit. Bila? Wallahualam. Caranya? Juga wallahualam. Kita usaha dan doa semoga bersalin (kematian) datang dengan cara yang paling baik. Juga, muhasabah buat suami dan isteri supaya banyakkan amal, berdoa dan taubat supaya mudah urusan dan selamat semuanya. Amin.

InsyaAllah selepas kelahiran, mungkin saya boleh celoteh pula pasal kelahiran baru.

“Hadis Ifki”

Rancangan demi rancangan

Apabila golongan ini merasakan sudah tiada lagi jalan untuk menewaskan Islam dengan cara berhadapan, samada secara berperang atau lainnya, lalu mereka mula menukar strategi perjuangan mereka.

Ini selepas Islam mendapat kemenangan yang besar -dengan pertolongan Allah- dalam peperangan Badar pada tahun 2H dan pukulan yang sengit juga menimpa mereka dengan tewasnya tentera Ahzab (Khandak) pada tahun 5H. Walaupun tentera mereka begitu ramai dan disertai oleh golongan Yahudi, Quraisy, Arab Badwi dan lain-lain, sehingga dengan kemenangan ini, Rasulullah SAW telah bersabda “Sekarang kita akan keluar menyerang mereka, sebaliknya mereka tidak akan datang lagi untuk menyerang kita (Madinah)”. [Sahih Al-Bukhari No. 4110].

Malangnya tuduhan jahat ini juga telah termakan oleh sesetengah orang Islam sendiri sehingga ada yang menjadi ‘pembawa mulut’, menyebar fitnah ini. Sebahagian yang lain pula mengambil sikap berkecuali dan mendiamkan diri sahaja.

Golongan munafiq memainkan peranan untuk memecah-belahkan perpaduan umat Islam. Mereka cuba mengadakan huru hara dalam masyarakat yang aman damai dengan pelbagai helah dan tipu muslihat. Ini agar umat Islam sentiasa berada dalam keadaan gelisah dan keluh kesah sehingga mereka tidak dapat menumpukan sepenuh usaha dan perhatian kepada islah mujtama’, iaitu membaikpulih kerosakan yang berlaku dalam masyarakat dan menyebarkan dakwah Islamiah.

Ditinggalkan dan dijumpai

Kejadian yang amat memedihkan ini berlaku sekembalinya Rasulullah SAW dari serangan yang dilakukan terhadap bani al-Mustaliq.

Pada bulan Sya’ban tahun 06H, bani al-Mustaliq telah mengadakan satu komplot untuk menyerang Rasulullah SAW. Setelah berita ini sampai kepada Rasulullah SAW, Baginda keluar bersama tentera Islam. Turut keluar bersama tentera muslimin ini munafiqin, ini kerana mereka tahu Islam akan mendapat kemenangan. Mereka keluar bukan untuk berperang, tetapi untuk mendapat habuan perang (ghanimah).

Tentera Islam dan bani al-Mustaliq bertemu di suatu tempat bernama al-Muraisi’, di mana tentera Islam telah mengalahkan mereka dengan mudah. Dalam perjalanan pulang, golongan munafiqin yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai bin Salul, telah cuba mengapi-apikan kabilah Ansar dan Muhajirin, untuk melagakan dua golongan Islam ini, tetapi api fitnah ini dapat dipadamkan oleh Rasulullah SAW.

Telah menjadi kebiasaan Rasulullah SAW, apabila keluar bermusafir Baginda akan mengadakan undian di antara para isterinya, siapakah yang akan mengiringi Baginda dalam musafir itu. Demikianlah sunnah Rasulullah SAW mengajar umatnya supaya berlaku adil terhadap semua isteri. Dalam peperangan ini, yang terpilih adalah Ummul Mukminin Aisyah RA, seorang yang masih muda dan berbadan kecil.

Setelah tiba di suatu tempat berhampiran Madinah, Rasulullah SAW bersama para sahabatnya telah berhenti rehat. Ketika ini, Aisyah telah keluar untuk menunaikan hajat di suatu tempat yang terlindung daripada pandangan tentera Islam. Setelah selesai, beliau kembali ke tempat untanya dan mendapati rantai lehernya telah terjatuh tanpa disedari. Maka beliau terus kembali ke tempat tadi untuk mencarinya.

Pada waktu yang sama, tentera Islam telah diperintahkan supaya meneruskan perjalanan ke Madinah. Pemandu unta Aisyah menyangka beliau telah berada di atas carriernya dan terus menariknya serta meneruskan perjalanan.
Setelah Aisyah kembali ke tapak perkhemahan, beliau mendapati rombongan tentera telah berangkat tanpanya. Maka beliau terus berkelubung dengan hijabnya dan duduk menunggu di tempat untanya tadi, mudah-mudahan akan datang orang mencarinya selepas ini. Dalam keadaan cemas itu beliau menangis sehingga tertidur.

Kemudian datanglah Sofwan bin al-Mu‘attal al-Sulami yang berada di bahagian belakang rombongan, yang tugasnya memang mencari dan melihat apa-apa yang tercicir atau tertinggal. Setelah melihat seorang perempuan di tepi jalan, beliau begitu terkejut dan terus beristirja’, iaitu menyebut kalimah “Inna Lillahi Wainna Ilaihi Raji‘uun” dan lebih-lebih lagi apabila beliau mengenali Siti Aisyah sebelum turunnya ayat Hijab.

Tanpa berkata sepatah pun, Sofwan merendahkan untanya untuk dinaiki Aisyah dan berliau berjalan membuntuti unta tersebut. Akhirnya mereka tiba ke tempat rombongan tentera Islam tadi.

 

Bermulanya hadis ifki

Apabila melihat Aisy ah tiba bersama Sofwan, maka golongan munafiqin yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai melihat ini sebagai satu peluang keemasan untuk menabur fitnah jahat mereka. Mulalah mereka membuat cerita kononnya Aisyah telah berlaku curang dengan Sofwan. Aisyah RA berkata “Kami tidak bercakap walau sepatahpun kecuali istirja’ Sofwan”. Malangnya tuduhan jahat ini juga telah termakan oleh sesetengah orang Islam sendiri sehingga ada yang menjadi ‘pembawa mulut’, menyebar fitnah ini. Sebahagian yang lain pula mengambil sikap berkecuali dan mendiamkan diri sahaja.

Setelah tiba di Madinah, telah tersebar ‘Hadis Ifki’ (tuduhan jahat) ini. Rasulullah SAW sendiri diam tidak bercakap, menantikan wahyu. Baginda juga telah bertanya pendapat beberapa orang sahabat, ada yang mengatakan ceraikan sahaja Aisyah dan ada pula yang membelanya. Wahyu pula tidak turun kepada Rasulullah SAW hampir sebulan. Ini adalah untuk menguji keimanan kaumnya dan untuk menzahirkan golongan munafiqin. Ketika ini, kemunafiqan golongan yang tidak benar-benar beriman ini lebih jelas kelihatan.

Setelah Aisyah RA mendengar berita tersebut, beliau menangis sehingga kekeringan air matanya. “Aku menyangka tangisanku akan memusnahkan kehidupanku,” kata Aisyah kerana tidak dapat mengeluarkan air mata lagi dan tidak dapat tidur.

image

Hampir sebulan berada dalam keadaan demikian, pada suatu hari, datanglah Rasulullah SAW ke rumah isterinya Aisyah bersama ayah dan ibunya. Baginda SAW bersabda kepada Aisyah yang sedang asyik menangis “Wahai Aisyah, sekiranya engkau suci daripada tuduhan ini, nescaya Allah akan membebaskan engkau, sekiranya engkau tersasar, maka beristighfarlah, sesungguhnya sekiranya seorang hamba itu bersalah kemudian dia mengakui dan bertaubat, pasti Allah SWT akan menerimanya”.

“Keringlah airmataku kerana aku tahu tentang diriku. Kalau aku berkata aku dipihak yang benar, dan Allah mengetahui perkara yang sebenarnya, tetapi pasti kamu tidak akan mempercayainya. Tetapi sekiranya aku mengakui sesuatu yang Allah tahu aku adalah suci darinya, kamu akan mempercayainya. Maka tiada apa bagi aku dan kamu kecuali apa yang diucapkan oleh bapa nabi Yusuf AS “Maka kesabaran yang baik itulah (kesabaranku). Dan Allah sajalah yang dimohon pertolongan-Nya terhadap apa yang kamu ceritakan”. [Yusuf: 18]. Aisyah RA kemudiannya berpaling dan berbaring untuk berehat. Pada waktu inilah turunnya ayat yang membebaskan Aisyah RA dari segala tuduhan yang tohmahan dan fitnah ke atasnya. Ia juga menjanjikan hukuman terhadap golongan yang menuduhnya.

Ini dapat kita baca sehingga ke hari ini di dalam surah An-Nur “Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu juga. Janganlah kamu kira bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik bagi kamu. Tiap-tiap seseorang dari mereka mendapat balasan dari dosa yang dikerjakannya. Dan siapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu baginya azab yang besar”. [An-Nur: 11].

Tidak gopoh-gapah itu muslim

Melihat kepada situasi umat hari ini, situasinya hampir sama dengan hadis ifki di atas. Satu tuduhan dilemparkan kerana prasangka terhadap seseorang, dan tuduhan itu diterima oleh masyarakat tanpa menanti untuk memeriksa berita tersebut.

Seorang muslim seharusnya mengambil langkah yang lebih berhati-hati, tidak gopoh-gapah dalam menyebar atau menceritakan sesuatu berita sebelum melakukan sebarang soal siasat.

Fungsi butang ‘Like’ dan ‘Share’ hari ini menjadi virus buat orang muslimin yang mahu menjaga dirinya dari terjebak akan perkara-perkara haram. Jika dahulu, sekiranya seseorang pernah menyebarkan cerita yang tidak pasti kesahihannya kepada ramai, maka perbuatan menyebarkan cerita itu akan terhenti di situ, dan manusia lebih sukar mengetahui siapakah penyebar berita palsu tersebut. Berbanding dengan zaman tweet, share dan like, kesemuanya kekal di timeline masing-masing yang menanti-nanti manusia melakukan kesilapan. Akhirnya, aib itu masih juga kekal dan keaiban lebih jelas terpampang di hadapan masyarakat.

Kerana itu, muslim yang bijak tidak gopoh dan pasti berpegang kuat dengan hadith ini “Berkata baik atau diam!”

Rujukan
1. Raheeq Makhtum
2. Tafsir Ibnu Kathir

Saya bercop Muslim (i)

credit to MM Vectoristic

credit to MM Vectoristic

6 tahun dahulu, orang mengecop saya dan beberapa orang kawan sebagai ‘Budak-budak Paknab’, mungkin kerana ciri-ciri yang ada pada saya dan kawan-kawan tersebut. Cara berpakaian, aktiviti mingguan, cara sudut pandang pada sesuatu perkara, kebersamaan kami menghidupkan sesuatu dalam berkumpulan dll. Jadi, saya kira manusia pasti melihat ciri-ciri tertentu pada sesuatu perkumpulan ketika memilih untuk menyertainya.

Okay, ambil masa 2 minit.

Sila berdiri di hadapan cermin.
Lihat atas bawah.
Hujung rambut sampai hujung kaki.
Islam kah aku?

Cara pemakaiannya.
Cara tuturkatanya.
Cara mengurus masanya.
Cara berkawan dengan manusia.
Cara menunaikan ketaatan kepada Allah swt.

Sama segakkah bayangan di dalam cermin dengan cop kita sebagai Muslim?

Setiap agama; benar atau batil. Setiap pertubuhan; memberi kebaikan atau keburukan. Setiap parti; baik atau jahat. Kesemuanya mempunyai asas dan dasar pemikiran dan akidahnya yang menentukan visi dan misinya, menjadi pegangan kepada ahlinya. Begitu juga seorang Muslim ketika mahu dicop sebagai seorang Muslim.

Sesiapa yang mahu mendokong salah satu daripada kumpulan tersebut, perkara pertama yang mesti dilihat ialah dasar-dasarnya. Jika dia bersetuju dan meyakini bahawa dasar tersebut adalah betul, diterima dengan fikirannya yang rasional tanpa ragu-ragu, barulah dia akan memohon untuk menjadi ahli kumpulan tersebut. Dia mula menjadi ahli dan pendokongnya. Bukan ahli kuat makan, nampak muka ketika makan-makan. Dia juga akan melaksanakan tugas-tugas yang diarahkan. Yuran juga mesti dikeluarkan. Sebulan 10,000 won. Tindakanya tidak boleh bercanggah dengan dasar-dasar pertubuhan. Malah, akhlak dan tingkahlakunya hendaklah melambangkan contoh yang baik dan boleh menarik orang lain untuk menyertai persatuan tersebut.

Okay, ambil masa 2 minit lagi.

Kalau seorang yang asing datang menemui anda kerana anda telah dicop sebagai Muslim, dan menyatakan mahu memahami Islam, tetapi dia hanya ada masa sejam sahaja. Bagaimana anda mahu menerangkan kepadanya tentang Islam dalam tempoh sejam?

Soalan ini sekaligus menguji  cop Muslim pada diri anda.

Jawapan boleh ditinggalkan di bawah.. atau boleh tunggu saya jawab dalam post seterusnya~

Dialog 2 masa

Image

Pagi

A: Bro, apsal tak siap lagi. cepat la. kang ramai orang di pusat mengundi.

Q: Sori. Aku tak dapat ngundi tahun ni. Nama tak naik, lambat daftar.

A: Gila kau. Mengundi tu kewajipan rakyat!

Q: Subuh pagi tadi kewajipan siapa pula?

Senja

A: Cepat-cepat! Buka tv. aku tak sabar nak tengok keputusan siapa menang ni. (betul-betulkan tuala)

Q: Kejap-kejap. Aku nak betulkan kain pelikat ni. (baru pulang dari masjid)

A: Slow la kau. Hal-hal negara ni jangan slow, tangguh-tangguh.

Q: Maghrib kau bukan ke tengah bertangguh ke?

——————————

Anda tahu mana prioriti, kan? ^__^

Undi dengan hati, Undi dengan Iman

image

“Undi dengan hati, Undi dengan Iman“

Ketika mahu kahwin, pilihan terbaik kita pastilah yang boleh membimbing ke syurga Allah.

Ketika hendak makan, pilihan terbaik pastilah gerai dan juga makanan halal yang menyelamatkan dari api neraka.

Ketika memilih kos pengajian universiti, solat istikharah menjadi petunjuk diri.

Ketika memilih pemimpin, pastilah calon Muslim yang berwibawa,bakal menjadi suara lantang umat ke Parlimen nanti.

Ketika memangkah undi, pastikan undi dari hati, yang penuh taqwa pada Ilahi.
————

Akhir kalam, buat para pemuda yang ikhlas memperjuangkan Islam, bersabarlah dengan ujian sebagaimana para Nabi ulul Azmi menahan keperitan memikul beban dakwah.

فَاصْبِرْ كَمَا صَبَرَ أُولُو الْعَزْمِ مِنَ الرُّسُلِ وَلَا تَسْتَعْجِلْ لَهُمْ ۚ كَأَنَّهُمْ يَوْمَ يَرَوْنَ مَا يُوعَدُونَ لَمْ يَلْبَثُوا إِلَّا سَاعَةً مِنْ نَهَارٍ ۚ بَلَاغٌ ۚ فَهَلْ يُهْلَكُ إِلَّا الْقَوْمُ الْفَاسِقُونَ [Surat Al-Ahqaf : 35]

(Jika demikian akibat orang-orang kafir yang menentangmu wahai Muhammad) maka bersabarlah engkau sebagaimana sabarnya Rasul-rasul “Ulil-Azmi” (yang mempunyai keazaman dan ketabahan hati) dari kalangan Rasul-rasul (yang terdahulu daripadamu); dan janganlah engkau meminta disegerakan azab untuk mereka (yang menentangmu itu). Sesungguhnya keadaan mereka semasa melihat azab yang dijanjikan kepada mereka, merasai seolah-olah mereka tidak tinggal (di dunia) melainkan sekadar satu saat sahaja dari siang hari. (Penerangan yang demikian) cukuplah menjadi pelajaran (bagi orang-orang yang mahu insaf). Maka (ingatlah) tidak dibinasakan melainkan kaum yang fasik – derhaka

UNDILAH CALON MUSLIM BERWIBAWA
ISLAM BERDAULAT, MALAYSIA SEJAHTERA

‘Ammar Muhd