Dari Bilik Bersalin II

Sambungan Dari Bilik Bersalin I

“Abang, sakit bang. Allah…!”

Doktor yang datang periksa isteri saya terkejut kerana bukaan sudah penuh, tapi isteri saya langsung tidak mengerang sakit seperti Korean di katil sebelah, kecuali mengadu sakit sekali-sekala sambil mulut terkumat-kamit menyebut Allah.. Allah.. Allah.

“Sakit kan, sayang. Sabar sikit ye. InsyaAllah Allah ampun semua dosa”, saya hanya mampu bagi harapan begitu dengan keyakinan bahawa kesabaran pada sakit itulah yang Allah ampunkan kesemua dosa-dosa ibu bersalin.

Tengahari itu, apabila lihat isteri sudah kembali bertenaga, kami bersembang itu dan ini. Saya ambil kesempatan untuk bertanya “Apa yang awak fikirkan masa sakit tadi? Abang perasan awak macam dengar tak dengar apa yang abang cakap”

Isteri saya ketawa kecil. Mukanya merah kemerahan menahan malu. “Aah, memang tak dengar dah apa yang abang cakap tadi. Sayang hanya ingat kisah Maryam yang sakit bersalin berseorangan di tengah panas terik, dan fikir tak nak berhenti baca doa Nabi Yunus”

Saya mengangguk faham.

image

“Maka Jibril menyeru ke arahnya dari tempat yang rendah: ‘Jangan kamu bermuram durja, sesungguhnya Tuhanmu menjadikan anak sungai di bawahmu dan goyangkanlah pangkal pohon kurma itu ke arahmu, nescaya pohon tersebut akan menggugurkan buah yang mekar kepadamu.”

Membaca ayat 25 dari Surah Maryam, saya yakin kesakitan yang ditanggung mana-mana ibu bersalin pasti sama. Tidak logik oleh akal manusia yang kerdil ini, dalam keadaan sakit dan lemah begitu, Allah perintahkan Maryam untuk menggoncang pokok kurma. Tidak mungkin juga buah kurma “ruthab” boleh gugur dengan digoncang, sedangkan kalau dibiar buahnya masak ranum pun ia tidak akan gugur. Tetapi, oleh kerana mentaati perintah Allah, Maryam gagahi juga dirinya dan berusaha menggoncang pohon kurma.

Amalan menjadi penjaga dirinya

Saya pernah berpeluang menjaga arwah Tok Wan di Titi Gajah ketika pulang bercuti. Tok Wan diserang strok dan hilang sebahagian upayanya. Dia tak boleh berjalan dengan gagah, tak boleh solat tanpa bantuan orang lain, dan juga kehilangan sebahagian dari ingatannya.

Jam hampir 1 tengahari. “Muhammad, Muhammad”, Tokwan memanggil saya dengan panggilan Muhammad (ayah saya) kerana menyangka saya ialah anaknya.

“Solat, solat…wuduk”, Tokwan hanya mampu ucap butir perkataan sahaja.

Hampir sebulan menjaga Tokwan, saya lihat Tokwan ada satu pattern hidup yang sangat baik. Hampir saja waktu solat, Tokwan akan bersiap-siap mahu ke bilik air untuk berwuduk. Siap mintakan saya hamparkan sejadah untuk solat. Walaupun bacaan solatnya sering tertukar kerana ingatannya yang hilang, tapi dia akan solat sampai ke sudah. Usai solat, Tokwan akan duduk bersandar di katil sambil mulut berzikir, tangan mengira zikirnya. Begitulah Tokwan sebelum Allah menjemputnya pulang. (Al-fatihah untuk Allahyarham Tokwan Razak)

Bina tabiat sebelum terlambat

Dalam hidup saya yang tak berapa panjang, Allah bagi dua kesempatan, seperti kisah di atas, melihat bagaimana amal ibadah bisa jadi penyelamat maruah diri ketika kita tidak berdaya.

Kedua-dua insan ini saya tahu biasa mengamalkan amalan tertentu ketika mereka sihat dan cergas dan ada daya untuk mengawal diri.

Setiap pagi, usai solat Subuh, isteri saya pasti akan habiskan bacaan Surah Luqman dan seminggu sekali akan habiskan Surah Maryam dan Yusuf.

Setiap kali pulang dari bersawah, arwah Tokwan pasti akan bersiap mandi dan menukar baju yang bersih, bersedia dengan hamparan sejadah dan berpesan pada anak cucunya untuk bersolat sama.

Setiap masa, Maryam mengabdikan dirinya kepada Allah taala dan itulah menjadi kekuatan Maryam untuk taat akan perintah Allah dalam sakit bersalinnya.

Dan (ingatlah) ketika Malaikat (Jibril) berkata: “Hai Maryam, sesungguhnya Allah telah memilih kamu, menyucikan kamu dan melebihkan kamu atas segala wanita di dunia (yang semasa dengan kamu). Hai Maryam, taatlah kepada Tuhanmu, sujud dan rukuklah bersama orang-orang yang rukuk. (Ali Imran: 42-43)

Orang tua-tua selalu berpesan “Kalau hendak jadi tabiat, amalkan setiap hari sebelum capai umur 40 tahun“. Saya tidak tahu apakah kesimpulan terbaik dari kisah-kisah di sekeliling saya ini, melainkan berdoa saya mampu untuk terus beramal dengan amalan yang baik-baik dan orang sekeliling saya juga beramal dengan amalan baik-baik supaya mendapat kekuatan dan rahmat seperti Maryam as. Kerana saya dan anda yakin, rahmat Allah melindungi hamba-hamba yang dilihatNya.

Apabila rasa penatnya beramal, ingatlah kisah Maryam dan pokok kurma. InsyaAllah akan datang kekuatan usaha dan tawakal dalam diri kita.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: